JENAYAH & MAHKAMAH

Leka main telefon ketika melintas, wanita punca kemalangan tiga kenderaan

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita yang melintas jalan sambil menggunakan telefon bimbit mengakibatkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bangsar, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa berusia 20 tahun itu dipercayai melintas di lokasi yang tidak mempunyai lintasan pejalan kaki.

Menurutnya, ketika kejadian wanita terbabit dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit sehingga menjejaskan kepekaan terhadap keadaan lalu lintas.

“Tindakan itu menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun gagal mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar dua lagi kenderaan iaitu sebuah Toyota Vellfire dan sebuah lori jenis Hino.

“Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut sedang berhenti di lampu isyarat merah,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal dan pejalan kaki mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan sebagai pesakit luar manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button