Lebih 700 pelajar dari 20 negara sertai Future Economics Leadership Summit
KUALA LUMPUR – Lebih 700 pelajar dari lebih 20 negara menyertai Future Economics Leadership Summit (WYF-FELS) yang berlangsung dari 9 hingga 13 Ogos lalu di Hong Kong.
Dianjurkan World Youth Forum (WYF), forum tersebut secara langsung mendedahkan peserta dengan perkaitan hubungan antara ekonomi, perniagaan, teknologi dan masyarakat dalam menyelesaikan masalah sejagat.
Menurut WYF dalam satu kenyataan, sepanjang lima hari program, peserta bekerja dalam kumpulan dan diberi tugasan meneliti isu dunia sebenar serta membangunkan penyelesaian berasaskan bukti menerusi cabaran akademik, projek kolaboratif dan pembentangan.
Program berkenaan turut menggalakkan peserta melihat sesuatu isu daripada perspektif ahli ekonomi, usahawan dan pemimpin masa depan, selain memperkukuh kemahiran pemikiran kritikal, komunikasi serta kerjasama merentas budaya.
Persidangan itu turut menampilkan pemimpin dan pakar daripada bidang akademik, industri dan pendidikan antarabangsa, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Business Professionals of America, Patrick Schultz dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Council for Economic Education, Tierney Kraft.
Turut sama membuat penampilan, Pengarah Urusan Program Antarabangsa Minerva Baccalaureate, Alison Marie Tankerserta profesor dan pakar bidang daripada institusi seperti ITU, Chinese University of Hong Kong (CUHK) dan Hong Kong University of Science and Technology (HKUST).
Sesi kepimpinan turut menghimpunkan pelajar dan alumni cemerlang yang berkongsi pengalaman mengenai pengaruh WYF terhadap pilihan akademik, perkembangan peribadi dan penglibatan mereka dalam isu global.
Antara pengisian utama ialah U20 – Youth Voice, Immersion Lab dan World Youth Fusion yang memberi peluang kepada peserta memahami isu kompleks, bekerjasama merentasi sempadan, mencadangkan penyelesaian berorientasikan masa depan serta menggalakkan pertukaran budaya.
WYF kemudiannya berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan sekolah, pendidik, universiti dan rakan industri bagi memperluas akses kepada pembelajaran dunia sebenar serta menghubungkan pelajar dengan peluang akademik, latihan industri dan kerjaya pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


