BERITA SEMASALUAR NEGARA

Krisis kepimpinan Thailand: Sokongan Paetongtarn jatuh paras terendah

BANGKOK – Sokongan terhadap Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, merosot kepada paras terendah susulan skandal diplomatik yang menjejaskan imej kepimpinannya.

Menurut kenyataan Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA), hanya 9.2 peratus menyatakan sokongan terhadap Paetongtarn dalam tinjauan yang dijalankan bermula 19 hingga 25 Jun lalu.

“Angka tersebut menunjukkan penurunan ketara berbanding 30.9 peratus yang diraih pada tinjauan suku pertama tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedudukan Paetongtarn dipertikai susulan siri demonstrasi yang tercetus di Bangkok, dengan penunjuk perasaan mendesak beliau melepaskan jawatan.

“Situasi itu memuncak selepas tularnya klip audio perbualan bersama bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, yang dipercayai mengandungi komen berunsur kritikan terhadap institusi ketenteraan Thailand.

“Rakaman itu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesetiaan Perdana Menteri kepada institusi negara,” jelasnya.

Tinjauan sama menunjukkan Ketua Parti Rakyat, Natthaphong Ruengpanyawut, mewakili pembangkang, mendahului senarai calon pilihan menggantikan Paetongtarn dengan meraih sokongan hampir 31.5 peratus responden.

Untuk rekod, Paetongtarn Shinawatra, anak kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dilantik menerajui pentadbiran pada Ogos 2024.

Pelantikannya dibuat beberapa hari selepas Srettha Thavisin digugurkan oleh Mahkamah Perlembagaan susulan pelanggaran etika ketika memegang jawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button