Rumah Lamine Yamal dipecah masuk
MADRID – Kediaman bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal dilaporkan menjadi sasaran cubaan pecah masuk oleh dua individu bertopeng hanya beberapa jam selepas beliau membantu skuad La Roja melangkah ke pentas final Piala Dunia.
Menurut polis dan laporan media tempatan, kejadian berlaku awal pagi Rabu di rumah pemain berusia 19 tahun itu di Esplugues de Llobregat, pinggir Barcelona.
Jurucakap polis wilayah Catalonia mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai cubaan pecah masuk di sebuah kediaman di kawasan berkenaan, namun enggan mendedahkan identiti pemilik atas faktor privasi.
Bagaimanapun, akhbar La Vanguardia melaporkan rumah terbabit adalah milik Yamal.
Menurut laporan itu, dua suspek yang memakai topeng dipercayai cuba memanjat tembok kediaman sebelum disedari pengawal keselamatan persendirian.
Menyedari kehadiran mereka dikesan, kedua-dua suspek segera melarikan diri tanpa sempat memasuki rumah berkenaan.
Kediaman itu turut mempunyai nilai sejarah kerana pernah dimiliki bekas kapten Barcelona, Gerard Pique yang sebelum ini tinggal di situ bersama bekas pasangannya, penyanyi Colombia, Shakira.
Kejadian berlaku beberapa jam selepas Sepanyol menewaskan Perancis 2-0 di Texas untuk mengesahkan tempat ke final Piala Dunia.
Dalam perlawanan itu, Yamal memainkan peranan penting apabila memenangi sepakan penalti pada babak pertama yang disempurnakan Mikel Oyarzabal bagi membuka jaringan.
Insiden membabitkan pemain bola sepak menjadi sasaran penjenayah bukan perkara baharu di Sepanyol.
Sebelum ini, beberapa bintang terkenal termasuk Karim Benzema, Rodrygo dan Dani Carvajal turut pernah menjadi mangsa cubaan pecah masuk ke kediaman mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








