BERITA SEMASA

200 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Sandakan

SANDAKAN – Sekurang-kurangnya 200 rumah atas air di Kampung Bahagia di Sandakan musnah dalam kebakaran besar yang berlaku awal pagi Ahad, menyebabkan ratusan penduduk hilang tempat tinggal.

Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 1.32 pagi sebelum pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikejarkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 35 anggota termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan terlibat dalam operasi pemadaman.

Menurutnya, pihak bomba berdepan kesukaran untuk mengawal api berikutan keadaan laluan yang sempit di kawasan perkampungan atas air tersebut.

“Pergerakan jentera ke lokasi kebakaran agak terbatas, selain keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” memetik laporan Buletin TV3 online.

Beliau turut berkata, faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain menyebabkan api marak dengan cepat dan sukar dikawal.

Sehingga pagi ini, operasi pemadaman masih giat dijalankan bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya, manakala punca kejadian serta jumlah sebenar mangsa terjejas masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kejadian itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan terhadap risiko kebakaran di penempatan atas air yang padat, terutama melibatkan aspek keselamatan dan akses kecemasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button