Sembilan maut hotel terbakar di Kolkata
KOLKATA – Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk seorang kanak-kanak maut dalam kebakaran sebuah hotel di bandar ini, awal pagi tadi.
Kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi waktu tempatan di tingkat dua bangunan hotel sebelum berjaya dikawal kira-kira sejam kemudian.
Seorang pegawai kanan polis berkata, kira-kira 30 individu berjaya dipindahkan dari hotel berkenaan dalam kejadian itu.
Menurutnya, punca kebakaran masih belum dapat disahkan, namun siasatan awal tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada litar pintas elektrik.
Pengarah Perkhidmatan Bomba Bengal Barat, Anuj Sharma berkata, sembilan mangsa yang maut terdiri daripada enam lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak.
“Hotel dipenuhi asap tebal dan beberapa mangsa ditemui di dalam bilik air,” katanya kepada agensi beritaAFP.
Beliau berkata, sembilan lagi mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan awal turut mendapati sistem penghawa dingin di hotel bajet itu berkemungkinan meletup sebelum mencetuskan kebakaran.
Sementara itu, laporan media tempatan mendakwa antara mangsa yang maut adalah warga Bangladesh yang berada di Kolkata bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Bagaimanapun, polis memaklumkan kewarganegaraan mangsa yang maut masih belum disahkan.
Hotel berkenaan terletak di kawasan padat di tengah Kolkata yang dipeuhi dengan penginapan bajet dan restoran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








