Kes pelajar MRSM hilang: MARA tidak mahu tergesa-gesa ubah SOP – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan membuat kesimpulan berhubung kes dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang sebelum siasatan polis selesai bagi mengenal pasti faktor sebenar kejadian.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua pelajar terbabit yang ditemukan selamat di Kuala Lumpur akan diberi ruang dan masa untuk bertenang sebelum menjalani proses siasatan.
Menurut beliau, salah seorang pelajar terbabit berada dalam keadaan panik dan terkejut selepas ditemui sehingga perlu dihantar ke hospital.
“Belum lagi sebab hari Isnin lepas baru mereka diminta untuk akan disiasat oleh pihak polis Alor Gajah untuk mereka mendapatkan maklumat sebenarnya. Kita beri ruang sikit waktu itu sebab salah seorangnya bila kita dapat jumpa itu dia macam panik sebab itu dia kita hantar ke hospital.
“Jadi kita tak nak mengganggu psikologi mereka terlebih dahulu, emosi mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Pra Pelepasan Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, kedua-duanya berusia 16 tahun, ditemukan selamat oleh pihak polis di Central Market kira-kira pukul 10.30 malam pada 14 Ogos lalu, selepas dilaporkan hilang sejak pukul 10.46 malam, 11 Ogos.
Asyraf Wajdi berkata, MARA memberikan tempoh kira-kira seminggu untuk kedua-dua pelajar berkenaan mendapatkan semula ketenangan sebelum proses siasatan dijalankan.
Asyraf Wajdi menambah, kejadian berkenaan perlu dilihat sebagai kes terpencil dan tidak wajar dijadikan asas untuk memperkenalkan peraturan yang boleh menjejaskan aktiviti serta program sedia ada di MRSM.
“Sebenarnya sepatutnya perkara ini merupakan kes terpencil yang bagi saya tidak boleh kita jadikan suatu konklusif untuk kita membuat satu peraturan yang akan akhirnya merencatkan segala aktiviti dan program yang selama ini berjalan dengan baik di MRSM,” katanya.
Menurutnya, pelajar MRSM sememangnya dibenarkan keluar bandar sekali atau dua kali sebulan tertakluk kepada syarat tertentu, tanpa ditemani guru.
“Kalau mereka pun, daripada dulu lagi ini bukan benda baru. Pelajar-pelajar memang boleh keluar bandar katakan dalam sebulan itu sekali ataupun dua kali mengikut syarat-syarat tertentu. Dan mereka keluar pun tidak akan ditemani oleh guru-guru,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, MARA kini mahu mendapatkan gambaran sebenar berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti faktor yang mungkin menjadi punca kedua-dua pelajar terbabit meninggalkan MRSM tanpa pengetahuan pihak berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








