BERITA SEMASA

Tiada kompromi, tiada tempat untuk pembuli di MRSM – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan pendirian tidak berkompromi terhadap sebarang kes buli di institusi pendidikan di bawah agensinya susulan dakwaan insiden buli melibatkan enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau amat berduka cita, kesal dan kecewa selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu yang hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial berhubung penderitaan anak mereka akibat dibuli.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, perbuatan ini disyaki melibatkan enam orang pelajar Tingkatan 5.

“Ibu bapa mangsa juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa, khususnya PDRM dan saya dimaklumkan keenam-enam pelajar terbabit telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Menurut Dr Asyraf Wajdi, sebaik menerima laporan tersebut, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) dan pihak pentadbiran MRSM supaya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan serta mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat.

Related Articles

“Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM.

“Walau apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu ‘mendisiplinkan’ pelajar junior adalah sama sekali tidak boleh diterima dan tidak akan dikompromikan,” tegasnya.

Beliau juga mengulangi pendirian yang telah berkali-kali ditegaskan kepada seluruh warga MRSM iaitu ‘You touch, you go’.

“Sesiapa yang terbukti melakukan perbuatan buli, tiada lagi tempat untuk mereka di MRSM.

“Kepada semua pelajar MRSM, jangan takut untuk melaporkan sebarang kejadian buli.

“Jangan memilih untuk keluar daripada MRSM kerana tidak tahan menjadi mangsa. Laporkan segera kepada guru, warden atau pihak pentadbiran supaya tindakan dapat diambil dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perbuatan buli ini, MARA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli di MRSM,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button