MARA pantau rapi, jadikan dua beradik hilang lima ahli keluarga sebagai anak angkat
RAUB – Kebajikan dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, kelmarin, terus mendapat perhatian apabila mereka kini dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berkesempatan ke Ulu Dong pagi tadi bagi bertemu sendiri dengan kedua-dua mangsa, Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam yang terlibat dalam insiden tersebut.
Menurut beliau, keadaan kedua-dua pelajar itu kini dilihat lebih stabil dan kuat berbanding hari-hari awal selepas tragedi berkenaan.
“Alhamdulillah, melihat keadaan mereka hari ini, saya bersyukur kerana kedua-duanya kelihatan lebih stabil dan kuat berbanding hari-hari awal tragedi.
“Saya sempat bertanyakan tentang pelajaran, cita-cita dan minat mereka. Dalam kesedihan yang masih bersisa, rupanya masih ada sinar harapan yang menyala dalam hati anak-anak ini.
“Mereka telah bersetuju untuk dijadikan anak angkat MARA, dan insyaAllah kita akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam kejadian kelmarin, lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran itu iaitu suami isteri, Mohd Alawi Mohammad, 56 dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 serta tiga anak mereka Ruby Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azian Barizah, 9.
Namun, dua beradik iaitu Ruby Adalia Balqis, 19 dan Ahmad Balia Murqam, 15 terselamat masing-masing di asrama di Kolej Matrikulasi Gambang, di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub.
Beliau memaklumkan, Ruby yang kini menuntut dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang menyatakan hasrat untuk menjadi guru dan bercita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Katanya, cita-cita tersebut adalah satu impian murni untuk mendidik anak bangsa dan usaha sedang digerakkan bagi membantu merealisasikannya.
“InsyaAllah, Datuk Seri Zahid Hamidi sudah mengarahkan saya dan Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir Menteri Pendidikan Tinggi untuk bantu susun laluan terbaik agar impian adik Ruby ini menjadi kenyataan,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Ahmad Balia Murqam yang meminati bidang keusahawanan, MARA terus menawarkan peluang untuk beliau menyambung pengajian di MRSM Bentong dalam bidang teknikal.
Menurutnya, tawaran tersebut telah dipersetujui dan sebagai anak angkat MARA, kebajikan, pendidikan serta pembangunan sahsiah kedua-dua pelajar berkenaan akan dipantau secara rapi supaya masa depan mereka tidak terjejas akibat tragedi itu.
Dalam pada itu, beliau turut meninjau lokasi kebakaran yang meragut nyawa insan tersayang mereka dan menyifatkan pengalaman melihat sendiri kawasan kejadian sebagai sesuatu yang amat meruntun hati.
Namun, beliau menegaskan kedua-dua beradik tersebut tidak keseorangan kerana MARA serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan akan terus mendoakan kesejahteraan serta kejayaan mereka.
Beliau berharap daripada ujian berat yang dilalui itu akan lahir kekuatan luar biasa dalam diri kedua-dua pelajar berkenaan serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








