Kerana tuntut hutang MARA, Asyraf Wajdi dituduh gadai perjuangan Melayu
KUALA LUMPUR – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa terkilan selepas dituduh menggadai perjuangan Melayu dan tidak berhati perut kerana sanggup mendakwa mereka yang tidak melunaskan hutang MARA di mahkamah.
Beliau berkata, meskipun menerima tuduhan berat seperti itu, beliau tetap tegas dengan pendirian hutang wajib dibayar demi membantu lebih ramai yang memerlukan.
“Sebab nak tolong lebih ramai yang memerlukanlah, MARA sekarang lebih tegas kejar peminjam culas sehingga dakwa mereka di mahkamah tanpa kompromi. Tuduhlah saya apa sahaja, pendirian saya tetap tegas.
“Ada yang tergamak menuduh saya dan MARA menggadai perjuangan Melayu dan tidak berhati perut kerana sanggup mendakwa mereka di mahkamah. Sebab nak tolong lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang memerlukanlah, saya dan MARA kena lebih tegas mengejar mereka yang culas dalam membayar balik hutang perniagaan mahupun pendidikan MARA,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya hari ini.
Asyraf berkata, dengan mendapatkan balik RM500,000 daripada seorang peminjam, MARA boleh menanggung 15 hingga 20 orang pelajar miskin dan masukkan mereka dalam bidang TVET di Institusi Pendidikan MARA .
Malah katanya, dalam Islam jelas meletakkan asas penting bahawa hutang wajib bayar.
“Rasulullah SAW bersabda bermaksud sesiapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk membayarnya, Allah akan membantunya melunaskannya.
Sesiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghabiskan atau tidak membayarnya, Allah akan membinasakannya, hadis sahih al-Bukhari,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








