BERITA SEMASA

Usahawan MARA raih jualan eksport RM449 juta

KUALA LUMPUR – Sektor keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatatkan prestasi membanggakan apabila program Gate to Global berjaya menjana transaksi jualan eksport sebanyak RM449 juta melibatkan 2,818 unit simpanan stok (SKU) produk ke pasaran antarabangsa.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pencapaian itu seiring dengan usaha agensi berkenaan untuk meningkatkan kapasiti usahawan bumiputera agar lebih berdaya saing di peringkat global.

Beliau menjelaskan, MARA juga kini menjadi peneraju dalam industri halal dengan kekuatan 71 eksekutif halal dan 23 juruaudit halal dalaman bagi membantu usahawan mempercepatkan proses pensijilan.

“Melalui kerjasama rintis dengan Jabatan Agama Islam Johor, kita berjaya memendekkan tempoh pensijilan halal dengan potensi sehingga 48 jam sahaja melalui bantuan dokumentasi dan penilaian lapangan oleh pakar dalaman kita.

“Usaha ini penting bagi mengatasi kekangan utama usahawan Bumiputera untuk mendapatkan pengiktirafan halal dalam tempoh yang lebih pantas dan efisien,” katanya dalam sidang media tahunan MARA di sini, hari ini.

Selain pemerkasaan kualiti produk, MARA turut melaksanakan transformasi besar-besaran ke atas 7,303 lot premis perniagaannya bagi memastikan ia kekal relevan dan menarik.

Menurut Asyraf Wajdi, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi Projek Transformasi Reka Bentuk (TREND) untuk memberi nafas baharu kepada premis usang, manakala RM11 juta lagi disalurkan bagi kerja penyelenggaraan melibatkan 266 lot.

“Kita sedar ada keluhan mengenai premis yang kelihatan suram. Oleh itu, transformasi ini dilakukan secara berfasa mengikut keutamaan umur premis bagi memastikan objektif kita untuk menceriakan ekosistem perniagaan tercapai.

“Matlamat akhir kita adalah untuk memastikan usahawan ini bukan sekadar berniaga, tetapi mampu menguasai rantaian industri menerusi agenda 3P Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan,” tambah beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button