600 pelajar tajaan MARA berlepas ke luar negara minggu depan secara berperingkat
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) kembali menghantar pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar, Mesir selepas menghentikan program itu sejak 2019, dengan kumpulan pertama membabitkan 78 pelajar yang akan mengikuti pengajian berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penghantaran kumpulan pertama itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri selain menikmati diskaun 50 peratus daripada Universiti Al-Azhar.
Menurut beliau, kos keseluruhan bagi seorang pelajar termasuk penginapan dan keperluan lain sepanjang lima tahun pengajian di universiti berkenaan hanya sekitar RM350,000, berbanding kos pengajian perubatan dalam negara yang boleh mencecah RM700,000 hingga RM800,000.
“Kali pertama selepas kita tutup program ini 2019, kita tak hantar pelajar perubatan ke sana tetapi saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat persetujuan untuk kita menghantar batch pertama 78 orang atas faktor kita mendapat diskaun 50 peratus daripada Universiti Al-Azhar.
“Kos untuk kita hantar perubatan ke Universiti Al-Azhar hanya keseluruhan kos kita termasuk penginapan dan sebagainya sepanjang 5 tahun di sana ada sebanyak RM350,000 sahaja berbanding dengan dalam negara yang boleh mencecah sampai RM700,000-RM800,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Pra Pelepasan Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, seramai 600 pelajar yang mengikuti pengajian di pusat persediaan MARA akan mula berlepas ke luar negara secara berperingkat mulai minggu depan.
Katanya, pelajar berkenaan mengikuti program persediaan di Kolej MARA Seremban, Kolej MARA Banting dan Kolej MARA Kuala Nerang sebelum melanjutkan pengajian ke beberapa negara.
“Hari ini kita ada program pelepasan untuk pelajar-pelajar yang tamat di pusat-pusat persediaan untuk ke luar negara. Kolej Mara Seremban, Kolej Mara Banting, Kolej Mara Kuala Nerang.
“Seramai 600 orang yang akan pergi, mula terbang minggu hadapan secara berperingkat ke New Zealand, ke Kanada, ke Australia, ke Korea, ke United Kingdom.
“Termasuk juga ke negara Mesir, ini adalah kumpulan pertama yang kita hantar melalui program perubatan yang mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan pelajar yang bakal berlepas itu turut diberikan orientasi menerusi program pra pelepasan sebagai persediaan sebelum memulakan pengajian di negara masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








