BERITA SEMASA

JPA buka permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2026

PUTRAJAYA – Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kini dibuka kepada rakyat Malaysia yang cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik bermula hari ini hingga 6 Mac.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi JPA di https://penajaan.jpa.gov.my.

JPA memaklumkan biasiswa berprestij yang juga dikenali King’s Scholarship itu adalah antara penajaan tertinggi kerajaan yang
disasarkan untuk melahirkan pemimpin akademik serta profesional bertaraf dunia.

“Biasiswa ini menyasarkan individu berpotensi tinggi yang menunjukkan kecemerlangan secara holistik merangkumi pencapaian akademik, penglibatan bukan akademik, kepimpinan unggul serta komitmen terhadap pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan.

JPA memaklumkan biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD) sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.

Antara bidang pengajian diberi keutamaan ialah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI) yang dikenal pasti memberi impak besar kepada pembangunan negara.

“Borang permohonan yang lengkap perlu dicetak dan ditandatangani pemohon bersama dokumen sokongan sebelum atau pada 13 Mac ini melalui serahan tangan atau pos.

“Dokumen berkenaan perlu dialamatkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Aras 3, Blok C2, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 Putrajaya (u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan),” katanya.

Dalam pada itu, permohonan turut dibuka kepada pegawai awam tertakluk kepada syarat-syarat umum permohonan kemudahan Cuti Belajar yang berkuat kuasa.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dilakukan melalui talian 03-8885 3569, 3438, 3879 atau 3571 atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button