
Peringatan dan amaran YDPA pada perasmian Persidangan Parlimen hari ini
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mengganggu-gugat pentadbiran Kerajaan Perpaduan demi kestabilan hidup 33 juta rakyat negara ini.
Baginda juga menegaskan kepada pemimpin parti politik menerima kenyataan bahawa kerajaan yang dibentuk hari ini adalah hasil daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu.
“Ingin juga saya tegaskan di sini yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam titahnya juga, baginda mengingatkan kepada Ahli Dewan selaku penggubal undang-undang supaya menjaga adab dan tata tertib sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.
Baginda juga memberi ‘lampu hijau’ kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menggantungkan selama 14 hari mana-mana ahli dewan yang melampaui batas persidangan.
“Oleh yang demikian saya harap ahli dewan dapat tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini,” titahnya.
Sultan Ibrahim turut menyentuh hubungan perpaduan antara kaum di negara ini yang disifatkan baginda belum memuaskan dan mengarahkan kerajaan merangka satu dasar untuk keharmonian kaum.
Baginda juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya memperkukuh perpaduan negara dengan tidak memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja).
“Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain,” tegasnya.
Sultan Ibrahim dalam titahnya mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri dan barisan anggota pentadbiran kerajaan yang telah menguruskan negara dengan baik.
Bagaimanapun titah baginda, kejayaan atau kegagalan negara tidak terletak pada bahu Perdana Menteri semata-mata tetapi dipikul semua pihak.
“Semua pihak, sama ada yang duduk di sebelah kanan, atau di sebelah kiri. Marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
“Pesanan Saya, sentiasa hayati denyut nadi rakyat kerana menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membela nasib mereka.
Pada masa sama, baginda berharap agar kerajaan akan terus mengambil pendekatan proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara.
Sebagai individu yang bertanggungjawab, baginda juga akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.
“Kerajaan juga mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewangan dana awam. Kelemahan urus tadbir ini semua peringkat perlu diperiksa termasuk dalam badan berkanun dan syarikat milik kerajaan serta anak-anak syarikatnya,” tegas baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








