Hubungan akrab Malaysia-Jordan berpotensi diperkukuh melalui pelbagai kerjasama – Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Jordan berpotensi memperkukuh hubungan perdagangan serta kerjasama ekonomi dua hala berasaskan persahabatan lama antara kedua-dua negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia turut menawarkan pelbagai peluang menarik untuk pelaburan dari Jordan, didorong lokasi strategik negara serta sektor perindustrian yang semakin berkembang.
“Saya harap kita boleh memperkukuhkan hubungan perdagangan antara negara kita, memanfaatkan asas persahabatan sekian lama untuk membina kerjasama ekonomi yang lebih baik dan bermakna demi kebaikan rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia dengan lokasinya yang strategik dan sektor perindustrian yang kian berkembang menawarkan pelbagai peluang menarik untuk pelaburan dari Jordan,” titah baginda.
Baca juga : Sultan Ibrahim terima darjah kebesaran awam tertinggi Jordan
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, titah itu disampaikan ketika pertemuan baginda dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II Ibn Al Hussein, bersama delegasi kedua-dua negara di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, hari ini.
Raja Abdullah II berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia hari ini dan tiba di Istana Negara pada pukul 10 pagi sebelum disambut Sultan Ibrahim.
Ketibaan baginda disusuli Istiadat Sambutan Negara, termasuk pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta alunan lagu kebangsaan Jordan dan Negaraku.
Raja Abdullah II kemudian menandatangani buku pelawat dan dipersembahkan dengan delegasi kedua-dua negara kepada baginda serta Sultan Ibrahim sebelum pertemuan empat mata diadakan.
Dalam pertemuan bersama delegasi kedua-dua negara, Sultan Ibrahim turut menyentuh sektor pendidikan, pembangunan kemahiran, ekosistem halal serta minyak sawit sebagai bidang tumpuan utama bagi kerjasama Malaysia dan Jordan.
Baginda turut menekankan persamaan nilai antara kedua-dua institusi diraja yang mempunyai sejarah panjang dalam mempertahankan warisan negara serta berkhidmat kepada rakyat.
“Institusi Diraja kita mempunyai sejarah yang panjang dan amat menghargai tradisi yang telah membentuk lipatan sejarah negara masing-masing.
“Walaupun berasaskan latar belakang sejarah dan budaya yang berbeza, kedua-dua Institusi Diraja (Jordan dan Malaysia) berkongsi sebuah legasi mempertahankan warisan negara, institusi masing-masing serta berkhidmat kepada rakyat merentasi generasi,” titah Sultan Ibrahim.
Raja Abdullah II turut diraikan oleh Sultan Ibrahim dalam majlis Santapan Negara di Dewan Santapan Utama, Istana Negara.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, selain ahli Kabinet serta barisan kepimpinan kanan kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








