BERITA SEMASA

JHEV ATM terima peruntukan RM304 juta, kebajikan veteran diberi perhatian

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM304 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menerusi Belanjawan 2027 akan dimanfaatkan bagi memastikan kesinambungan usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan terus menunjukkan komitmen terhadap golongan veteran menerusi peningkatan peruntukan itu meskipun negara berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan amat dihargai dan akan digunakan sebaiknya bagi memastikan kebajikan bekas anggota tentera terus terpelihara.

“Walaupun ada peningkatan walaupun sedikit, kita sangat-sangat berterima kasih dan menghargai peruntukan RM304 juta yang diberikan untuk Jabatan Hal Ehwal Veteran.

“Insya-Allah, peruntukan yang terus meningkat secara konsisten ini akan kita gunakan sebaiknya untuk memastikan kesinambungan kebajikan dan kesejahteraan anggota-anggota veteran Angkatan Tentera kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Menurut Khaled, antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus ialah veteran terlantar, uzur dan berpendapatan rendah yang tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Katanya, Tabung Pahlawan membantu memenuhi keperluan yang tidak disediakan kerajaan termasuk susu khas, lampin dan peralatan pakai buang bagi veteran yang memerlukan penjagaan berterusan.

Beliau berkata, kebajikan veteran merupakan sebahagian daripada ekosistem pertahanan negara yang luas dan tidak terhad kepada kesiagaan aset atau kompetensi anggota tentera yang masih berkhidmat.

Sebaliknya, katanya, aspek kesejahteraan warga pertahanan perlu diberi perhatian sepanjang tempoh perkhidmatan dan selepas mereka bersara.

Khaled menegaskan bahawa jasa serta pengorbanan veteran kepada negara tidak terhenti selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

Justeru, beliau berkata, tanggungjawab memastikan kebajikan mereka terpelihara perlu dipikul bersama oleh kerajaan, masyarakat dan sektor swasta.

“Bagi kami di Kementerian Pertahanan, setiap sumbangan yang diberikan sangat bernilai. Seperti yang sering diungkapkan, ‘Beri banyak tanda mampu, beri sedikit tanda ingat’.

“Hari ini, saya sekali lagi menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk terus menyumbang dan menyokong usaha ini.

“Dan sumbangan ini adalah sesuatu yang bermakna dan memberi kesan besar kepada ekosistem pertahanan negara, moral anggota pertahanan, veteran dan juga keluarga mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button