BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF jamin operasi ATM tidak terjejas walau dibayangi isu salah guna kuasa

KUALA LUMPUR – Isu rasuah dan salah guna kuasa yang timbul dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjejaskan keupayaan operasi serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara, sebaliknya pertahanan nasional kekal utuh dan berfungsi dengan baik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau memberi jaminan bahawa tiada sebarang gangguan berlaku terhadap operasi pertahanan negara meskipun wujud pelbagai skandal yang terzahir kebelakangan ini.

Menurutnya, segala proses perolehan yang tertangguh juga akan diselaraskan bersama Kementerian Kewangan bagi memastikan operasi ATM dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“MINDEF akan terus meneroka lebih banyak ikhtiar dan peluang yang akan terus memantapkan kewibawaan kementerian ini dan ATM.

“Inilah tanggungjawab besar Kementerian Pertahanan untuk memulihkan integriti, mengembalikan kepercayaan serta memastikan pertahanan negara kekal kukuh, bersih dan dihormati,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata demikiann ketika menerangkan situasi semasa Kementerian Pertahanan dan ATM di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Khaled turut menegaskan, masalah yang timbul melibatkan beberapa pegawai ATM kebelakangan ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ATM sebagai sebuah institusi yang rosak atau tidak berintegriti.

Menurutnya, ATM pada asasnya masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik serta menyumbang secara langsung kepada kestabilan negara, kemakmuran ekonomi dan keamanan yang dinikmati ketika ini.

“Di sebalik segala kecaman dan persepsi negatif yang melanda, anggota-anggota ATM masih gigih dan ikhlas berkhidmat tanpa mengharap balasan walaupun berada di bawah tekanan dan tohmahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersikap munasabah dan berkeadilan dalam kritikan serta teguran terhadap ATM.

Menurutnya, meskipun ATM tidak sempurna sepenuhnya dan masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, kewujudan elemen rosak dalam kalangan segelintir anggota tidak bermakna keseluruhan sistem itu bobrok dan gagal.

“Perbuatan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab sama sekali tidak mewakili keseluruhan warga ATM. Rasuah dan penyelewengan bukan sinonim dengan Angkatan Tentera Malaysia dan sistem pertahanan nasional,” katanya.

Beliau turut berharap agar ATM tidak dihukum sehingga mengganggu motivasi serta moral anggota perkhidmatan pertahanan, selain menegaskan tanggungjawab bersama untuk memastikan kebenaran dan keadilan terus seiring.

Mohamed Khaled berkata, Kerajaan MADANI telah menzahirkan pendirian tegas dalam membanteras sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, namun usaha memulihkan kepercayaan itu juga menuntut kefahaman dan dukungan rakyat.

Menurutnya, sokongan berterusan itu amat penting dalam mengukuhkan imej dan reputasi ATM sebagai peneraju utama sistem pertahanan nasional yang berwibawa dan dihormati.

Beliau turut mengingatkan di sebalik segala persepsi negatif, anggota ATM merupakan pahlawan yang berpanas dan berhujan di sempadan belantara serta lautan, sentiasa berada di hadapan ketika negara diuji dan hadir ketika bencana melanda.

“Mereka sanggup meninggalkan keluarga demi ibu pertiwi, malah ramai yang telah gugur berjuang ketika rakyat menikmati kehidupan yang sejahtera,” katanya.

Justeru itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga ATM yang terus gigih dan setia berkhidmat demi negara serta menyeru rakyat Malaysia agar menghargai jasa dan pengorbanan para pahlawan negara.

Menurutnya, dengan sokongan seluruh rakyat, kepercayaan serta imej Angkatan Tentera Malaysia akan dapat dikembalikan sebagai sebuah institusi yang hebat, berwibawa dan dihormati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button