PM layak dipuji, kerajaan kembali kepada kuota ekuiti Bumiputera 30 peratus
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak dipuji kerana bersedia mendengar suara rakyat apabila kerajaan bersetuju mengembalikan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera kepada 30 peratus daripada 50 peratus bagi syarikat swasta yang mahu membeli hartanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bernilai melebihi RM20 juta.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu membuktikan kerajaan mengambil kira pandangan rasional rakyat dalam menentukan dasar ekonomi negara, khususnya yang melibatkan kepentingan pelbagai kaum.
Menurutnya, beliau telah berulang kali membangkitkan isu berkenaan sejak Mei lalu bagi menggesa kerajaan mengekalkan syarat asal pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus.
“Perdana Menteri layak dipuji kerana mendengar suara rasional rakyat untuk mengembalikan pemilikan ekuiti Bumiputera kepada kadar asal 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, keputusan itu disahkan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir ketika menjawab soalan Parlimennya pada 20 Oktober lalu, dengan menjelaskan bahawa kerajaan mengembalikan ambang pemilikan ekuiti Bumiputera daripada 50 kepada 30 peratus selepas semakan yang turut melibatkan rundingan dengan pihak berkepentingan.
“Sebahagian GLC dan GLIC dimiliki oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau latar belakang, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan antara institusi utama negara dalam pengurusan simpanan persaraan.
“Kerajaan perlu mengamalkan dasar yang lebih inklusif dan tidak mengetepikan kepentingan mendapatkan nilai terbaik dalam urus niaga hartanah berkenaan,” katanya.
Guan Eng turut berharap keputusan itu dapat mengembalikan keyakinan masyarakat, komuniti perniagaan dan pelabur bahawa kerajaan tidak memperluas pendekatan berasaskan kaum dalam membuat keputusan ekonomi.
Menurutnya, keputusan itu juga diharap dapat meredakan kebimbangan sesetengah pihak bahawa peningkatan kuota ekuiti Bumiputera daripada 30 kepada 50 peratus bagi urus niaga berkenaan mungkin menjadi permulaan kepada peningkatan kuota sama dalam semua dasar kerajaan.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) berpegang kepada prinsip mengekalkan kuota etnik sedia ada sebanyak 30 peratus dalam dasar kerajaan dan dasar awam bagi memupuk perpaduan, kestabilan serta keharmonian negara.
“Dalam kerangka ini, PH berusaha menyediakan peluang yang sama kepada semua rakyat Malaysia.
“Dengan keputusan ini, rakyat Malaysia masih mempunyai harapan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








