BERITA SEMASA

Pendidikan percuma untuk golongan termiskin bermula tahun depan – PM

PUTRAJAYA – Golongan termiskin di negara ini bakal menikmati pendidikan percuma daripada prasekolah hingga ke universiti bermula tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, langkah itu merupakan inisiatif awal kerajaan di bawah agenda Malaysia Madani bagi memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang pendidikan yang adil dan menyeluruh.

“Tahun depan, golongan termiskin daripada prasekolah sehingga ke universiti akan mendapat pendidikan percuma.

“Ini adalah langkah awal Kerajaan MADANI yang tidak pernah difikirkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anwar berkata, walaupun kerajaan mewarisi hutang negara mencecah trilion ringgit, isu pendidikan tetap diberi keutamaan kerana ia merupakan jalan utama keluar daripada kemiskinan.

“Bagi kita, pendidikan adalah jawapan terbaik. Mobiliti sosial itu datang melalui pendidikan. Kalau Malaysia ada kejayaan besar, ialah kerana kelompok paling miskin di bandar, desa dan pedalaman diberi ruang untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak melupakan asal-usul dan budaya sendiri apabila berjaya, dengan mengambil pengajaran daripada kisah Si Tanggang.

“Jangan jadi seperti Si Tanggang. Kita boleh menggapai langit dalam ilmu dan teknologi, tetapi jangan sesekali meninggalkan akar budaya kita.

“Ada yang terdidik tetapi menghina kaumnya sendiri, menghina bahasa dan budayanya sendiri,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa generasi muda Malaysia mampu menjadi harapan baharu negara dengan berpaksikan nilai etika, kemanusiaan dan keadilan.

“Saya yakin generasi muda memberi harapan baharu kepada negara. Tugas kami ialah memberi peluang supaya anda membina masa depan berlandaskan prinsip kebenaran, keadilan dan kasih kepada manusia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button