POLITIK

PKR sokong pendidikan berkualiti, rakyat terus dibela

PUTRAJAYA – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan inisiatif terbaharu Kerajaan MADANI, termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh sistem pendidikan negara.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat bulanan MPP yang diadakan hari ini turut meneliti pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Rancangan Pendidikan Negara merupakan usaha menyeluruh bagi menjamin mutu pendidikan yang lebih baik di samping mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran dunia digital yang semakin mencabar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MPP turut melihat keperluan untuk menambah baik program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani secara lebih berkesan.

“Sokongan MPP terhadap langkah tegas kerajaan dalam membanteras rasuah serta kegiatan kartel, supaya dana awam tidak diseleweng dan disalahgunakan untuk kepentingan kelompok tertentu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Kongres Nasional PKR 2026 akan diadakan di Melaka bermula 25 hingga 28 Jun 2026, dengan maklumat lanjut akan diumumkan oleh Ibu Pejabat PKR dalam masa terdekat.

“Mesyuarat MPP hari ini juga meluluskan beberapa pelantikan baharu melibatkan Ex Officio Biro Politik PKR serta Ex Officio MPP PKR sebagai langkah memperkukuh struktur kepimpinan dan jentera parti,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button