USM tersenarai 15 universiti terbaik di dunia
KUALA LUMPUR — Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat pencapaian cemerlang apabila menduduki tempat ke-14 dalam senarai Penarafan Impak Universiti Times Higher Education 2025, menjadikannya universiti Malaysia yang paling tinggi kedudukannya dalam kalangan universiti Asia dan ASEAN.
Laporan penarafan tersebut menilai sumbangan 2,526 universiti dari 130 negara di seluruh dunia terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam penarafan itu, Universiti Malaya (UM) berada di tempat ke-25, menunjukkan lonjakan ketara berbanding kedudukan ke-63 pada tahun lalu.
Dengan pencapaian itu, kedua-dua universiti tersebut kini diiktiraf sebagai peneraju utama pendidikan tinggi di peringkat serantau yang mencerminkan pengaruh Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi berfokuskan kelestarian.
Menurut laporan Penarafan Impak Asia dan ASEAN, USM mencatatkan kedudukan pertama di peringkat global bagi SDG 1 (Tiada Kemiskinan) dan SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).
USM dan UM turut berkongsi kedudukan teratas global bagi SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat).
Di peringkat serantau, USM menduduki tempat kedua tertinggi dalam ASEAN selepas Universitas Airlangga dari Indonesia yang berada di tempat ke-9.
UM turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam SDG berkaitan alam sekitar, berada di tempat keenam global bagi SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air) dan ke-12 bagi SDG 15 (Kehidupan di Darat).
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut tersenarai dalam penarafan di tempat ke-53 keseluruhan dengan prestasi kukuh dalam SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), menduduki tempat ke-26 global.
Sunway University pula mencatatkan sejarah baharu dengan menempatkan diri dalam kelompok 100 terbaik buat pertama kalinya, menduduki tempat ke-81, naik daripada kedudukan 201–300 pada tahun sebelumnya.
Sebanyak 31 universiti Malaysia turut tersenarai dalam penarafan keseluruhan tahun ini, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Penarafan Impak ini menilai sumbangan universiti dalam empat bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan, jangkauan masyarakat dan tadbir urus dengan setiap institusi dinilai berdasarkan prestasi dalam pelbagai SDG, termasuk pengurangan kemiskinan, pendidikan, kesaksamaan gender dan tindakan terhadap alam sekitar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








