UPSI susun bantuan, pantau kebajikan Lovely sepanjang pengajian
KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menyelaras bantuan menerusi Yayasan Perkasa Siswa bagi memastikan bakal pelajarnya, Lovely Sabana Augustine dapat memulakan pengajian tanpa berdepan kekangan keperluan pendidikan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, pihak universiti turut mempertimbangkan Lovely sebagai calon Program Sulong, selain terus memantau kebajikan dan keperluannya selepas mendaftar nanti.
“UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan bakal pelajar dan pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Dalam kes Lovely, semakan mendapati beliau memang bakal pelajar UPSI dan universiti sudah mengambil langkah awal bagi memastikan keperluannya memulakan pengajian dapat diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norkhalid berkata, semakan mendapati Lovely berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan perkara itu diambil kira dalam pemantauan kebajikan bakal pelajar terbabit.
“Pada masa ini, Lovely memaklumkan sudah membuat persediaan mendaftar dan mempunyai RM1,500 bagi pembayaran yuran berkaitan pendaftaran serta pengajian.
“Keperluan utama dikenal pasti ialah komputer riba untuk menyokong pembelajaran dan pelaksanaan tugasan akademik,” katanya.
Beliau berkata, terdapat individu yang sudah menyatakan kesediaan membantu menyediakan kelengkapan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, UPSI akan terus memantau perkembangan Lovely bagi memastikan keperluan kebajikan dan pendidikannya diselaraskan sewajarnya.
“Selain itu, Lovely turut dipertimbang sebagai calon bagi Program Sulong, antara usaha UPSI memberi sokongan kepada pelajar memerlukan, khususnya memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik,” katanya.
Katanya, keadaan sosioekonomi keluarga Lovely menunjukkan beliau wajar terus diberi perhatian dari aspek kebajikan dan sokongan pendidikan, termasuk selepas mendaftar dan memulakan pengajian di UPSI.
“UPSI tidak melihat isu ini hanya dari sudut bantuan sebelum pendaftaran, sebaliknya kebajikan dan keperluan pelajar terus dipantau sepanjang mereka di universiti supaya tiada pelajar tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi disebabkan kekangan kewangan,” katanya.
Lovely, pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sebelum ini menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian di UPSI pada Sabtu lalu dan dijadual mendaftar pada 12 September ini.
Lovely menetap bersama ibunya, Mek Kenui, di Tumpat, Kelantan. Ibunya yang berketurunan Siam bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan dan turut menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Bapanya yang berketurunan Kadazan dan bekas anggota tentera meninggal dunia pada 2017, manakala Lovely adalah anak bongsu daripada empat beradik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








