Global Educator Award 2026 dilancar, iktiraf kecemerlangan pendidik global
TANJONG MALIM – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melancarkan Global Educator Award (GEA) 2026 dalam majlis prapelancaran di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Beliau berkata, penganjuran anugerah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam mengiktiraf kecemerlangan pendidikan sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab pendidikan global.
“Pendidikan merupakan asas kepada pembangunan negara dan kemajuan dunia. Dalam era yang semakin mencabar ini, peranan pendidik menjadi semakin penting sebagai pemangkin perubahan, inovator dan pembentuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, GEA bukan sekadar platform pengiktirafan, malah satu gerakan global yang meraikan dedikasi pendidik serta menginspirasikan inovasi dalam bidang pendidikan.
Tambah beliau, kejayaan penganjuran sulung GEA 2025 yang menerima 278 pencalonan daripada 58 negara membuktikan kredibiliti serta penerimaan antarabangsa terhadap inisiatif tersebut.
“Pencapaian ini menunjukkan keperluan tinggi terhadap platform global yang mengiktiraf sumbangan bermakna dalam pendidikan merangkumi aspek pengajaran, kepimpinan, inovasi dan impak komuniti,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan edisi 2026 menyaksikan jumlah kategori anugerah diperluas daripada lima kepada 10 sebagai langkah strategik memperluaskan pengiktirafan kepada pelbagai bidang kecemerlangan pendidikan.
Katanya, penambahan itu meliputi inovasi digital, pendidikan inklusif, kelestarian, penglibatan komuniti serta kolaborasi global.
“Ini membolehkan lebih ramai individu dan institusi cemerlang diberi pengiktirafan, selaras dengan komitmen terhadap keterangkuman dan kepelbagaian dalam pendidikan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, GEA 2026 menyasarkan 1,000 pencalonan daripada 80 negara dengan jumlah geran kewangan bernilai USD60,000 (RM237,907.32), selain menawarkan trofi, sijil pengiktirafan antarabangsa serta peluang jaringan profesional global.
Pencalonan dibuka bermula Ahad hingga 15 Julai 2026 melibatkan penyertaan pendidik, pemimpin institusi pendidikan, penyelidik, inovator serta pemain industri berkaitan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, majlis prapelancaran tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh peranan pendidikan sebagai pemangkin perubahan bermakna.
Menurutnya, UPSI percaya masa depan pendidikan bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian ilmu, malah melibatkan pemupukan nilai, kreativiti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pendidik.
“Sebagai institusi peneraju pendidikan guru, UPSI memikul tanggungjawab melahirkan pendidik yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga berjiwa penyayang serta berpandangan jauh,” katanya lagi.
Beliau menambah, GEA selari dengan aspirasi itu apabila menjadi platform yang menghimpunkan pendidik, institusi dan rakan strategik dari seluruh dunia dalam semangat kolaborasi.
“UPSI akan terus komited memastikan platform ini berkembang dari segi impak, kerelevanan dan capaian global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








