UPSI abadikan tragedi Gerik menerusi buku khas
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan buku khas bertajuk UPSI Berduka bagi merakam tragedi kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajarnya di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.
Buku berkenaan dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik DiRaja, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI hari ini.

Menurut Zambry, penerbitan buku tersebut bukan sekadar mendokumentasikan satu tragedi yang menyayat hati, sebaliknya menjadi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan selain merakam semangat kebersamaan yang ditunjukkan pelbagai pihak ketika berdepan detik sukar itu.
“Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga pendidikan tinggi negara. Penerbitan UPSI Berduka membolehkan pengalaman dan pengajaran daripada peristiwa tersebut terus dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang.
“Lebih penting, buku ini mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan yang dizahirkan masyarakat, agensi kerajaan serta institusi pendidikan dalam menghadapi satu ujian yang amat besar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.
Buku itu menghimpunkan kronologi kejadian, pengalaman pelajar yang terselamat, luahan waris mangsa serta kisah pengorbanan sukarelawan, anggota penyelamat dan petugas barisan hadapan yang terlibat sejak hari pertama tragedi berlaku.
Turut dimuatkan dalam naskhah tersebut ialah dokumentasi tujuh fasa pengurusan krisis yang dilaksanakan UPSI bersama pelbagai agensi dalam usaha mengurus kebajikan mangsa, waris dan komuniti yang terkesan.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penerbitan UPSI Berduka merupakan usaha universiti memastikan tragedi yang pernah menguji ketabahan seluruh warga kampus itu terus diingati sebagai pengajaran bermakna.
“Buku ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk merakam sejarah yang berlaku dalam keluarga besar UPSI. Ia bukan sekadar catatan tentang kehilangan, tetapi juga kisah kekuatan, pengorbanan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak.
“Kami berharap naskhah ini dapat menjadi sumber rujukan kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pengurusan krisis, selain menjadi penghargaan yang berkekalan kepada mangsa, waris serta semua yang terlibat dalam usaha membantu ketika tragedi tersebut berlaku,” katanya lagi.
Pada 9 Jun tahun lalu, negara dikejutkan dengan kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI mengorbankan 15 penuntut dan mencederakan puluhan yang lain.
Tragedi itu disifatkan antara kemalangan paling menyayat hati dalam sejarah institusi pendidikan tinggi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















