Rakyat Malaysia koma di Hospital Krabi, keluarga rayu bantuan tampung kos rawatan
BUKIT KAYU HITAM – Hasrat seorang pemuda untuk berkonvoi bersama rakan ke Thailand bertukar tragedi apabila dia dilaporkan koma dan dirawat di Hospital Krabi selepas terbabit dalam kemalangan di negara jiran tersebut.
Mangsa, Muhammad Hazim Rafiq Hussain, 21, mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori pada Rabu lalu.
Akibat kemalangan tersebut, Muhammad Hazim Rafiq mengalami pendarahan di kepala, paru-paru bocor serta retak pada tulang bahagian pinggang dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Menurut abang mangsa, Muhammad Harith Rafie, 24, kejadian berlaku ketika adiknya bersama lima rakan berkonvoi ke Thailand pada Selasa lalu sebelum kemalangan berlaku keesokan harinya.
“Adik dan rakan-rakannya ke Thailand pada Selasa lalu sebelum terlibat dalam kemalangan keesokan harinya.
“Setakat ini, saya belum dimaklumkan tentang lokasi tepat kejadian,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Katanya, keluarga kini berdepan kebuntuan apabila kos rawatan di hospital tersebut meningkat dari hari ke hari.
“Sehingga semalam, saya dimaklumkan kos rawatan yang perlu dibayar adalah RM21,000. Kami amat bimbangkan keadaannya dan buntu memikirkan bagaimana nak cari wang sebanyak itu.
“Kos akan terus meningkat dan RM21,000 itu belum lagi termasuk kos pembedahan dan lain-lain memandangkan kecederaan dialami adik sangat serius,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan pihak hospital sedang memantau keadaan mangsa bagi menentukan sama ada Muhammad Hazim Rafiq boleh dibawa pulang ke Malaysia untuk rawatan lanjut sekiranya keadaannya stabil.
“Doktor memaklumkan adik perlu menjalani pembedahan pada bahagian muka yang turut cedera selain perlu ditebuk pada saluran pernafasan. Kos pembedahan itu pun belum tahu lagi,” jelasnya.
Menurutnya, adiknya hanya mengambil insurans wajib bernilai RM55 yang dipercayai hanya mampu menampung kos perubatan sekitar RM4,000.
“Buat masa ini, kawan-kawan adik masih di sana (hospital) dan mereka mungkin terpaksa pulang ke Malaysia. Saya merancang untuk ke sana dalam masa terdekat ini,” katanya.
Tambahnya, ibu mereka yang menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang sangat bimbang dengan keadaan Muhammad Hazim Rafiq yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan bekerja di sebuah kilang di Bukit Minyak, Pulau Pinang.
“Saya sekeluarga amat mengharapkan bantuan orang ramai kerana kami buntu kos rawatan adik di hospital sana,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Harith Rafie di talian 017-474 2348.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








