LUAR NEGARA

Itali singkir syarikat Israel daripada projek sistem antidron lapangan terbang

ROM – Mahkamah pentadbiran tertinggi Itali mengarahkan syarikat pertahanan Israel, termasuk Rafael Advanced Defense Systems, dikeluarkan daripada projek perlindungan antidron di Lapangan Terbang Fiumicino, yang merupakan antara hab penerbangan paling sibuk di Eropah.

Majlis Negara Itali (Council of State) memutuskan pengendali lapangan terbang, Aeroporti di Roma (ADR), perlu menggantikan konsortium Israel itu dengan syarikat peperangan elektronik Itali, ELT Group (Elettronica S.p.A.), dalam tempoh 60 hari.

Keputusan itu sekali gus menamatkan penglibatan Rafael, pengeluar sistem pertahanan Iron Dome Israel, bersama rakan kongsinya, Altintech, dalam sistem pertahanan antidron di lapangan terbang berkenaan.

Keputusan terbaharu itu mengetepikan penghakiman Mahkamah Pentadbiran Serantau Lazio pada Mei 2024 yang sebelum ini mengekalkan pemberian kontrak kepada kumpulan syarikat Israel tersebut.

Pertikaian berkenaan tertumpu kepada klasifikasi sistem radar yang dipasang di Fiumicino.

Pakar teknikal daripada Kementerian Pertahanan Itali memutuskan sistem berkenaan dikategorikan sebagai peralatan ketenteraan berdasarkan ciri teknikalnya, selain disenaraikan di bawah peraturan International Traffic in Arms Regulations (ITAR) Amerika Syarikat dan didaftarkan dalam daftar peralatan ketenteraan kebangsaan Itali.

Mahkamah mendapati kebenaran yang diperlukan bagi mengimport dan mengendalikan peralatan berkenaan tidak diperoleh.

Bagaimanapun, ADR sebelum ini menegaskan radar itu merupakan sistem dwi-guna yang turut digunakan di beberapa lapangan terbang Eropah lain serta ketika acara awam berskala besar.

Pengendali lapangan terbang itu berkata pihaknya akan mematuhi sepenuhnya keputusan mahkamah, selain memastikan operasi antidron tidak terjejas sepanjang proses peralihan kepada sistem baharu.

Mahkamah turut mengarahkan fail kes diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Rom bagi menilai sama ada siasatan jenayah terhadap proses perolehan berkenaan perlu dijalankan.

Keputusan itu dibuat ketika hubungan antara Itali dan Israel semakin tegang.

Itali menggantung pengeluaran lesen baharu eksport senjata ke Israel pada penghujung 2024.

Pada April 2026, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, turut mengumumkan penggantungan pembaharuan automatik perjanjian kerjasama pertahanan dua hala yang telah lama dimeterai, susulan satu insiden membabitkan anggota pengaman Itali di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button