LUAR NEGARA

Itali hantar kapal perang bantu flotilla pro-Palestin ke Gaza

ROM – Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, mengarahkan sebuah frigat pelbagai guna milik Tentera Laut Itali dihantar bagi memberi bantuan kepada flotila pro-Palestin yang menuju ke Gaza, susulan dakwaan serangan dron ke atas beberapa kapal di perairan Greece.

Menurut penganjur Global Sumud Flotilla, lebih berbelas letupan kedengaran berhampiran kapal-kapal mereka lewat malam Selasa, dengan kerosakan dilaporkan akibat “objek tidak dikenali” yang dijatuhkan ke atas dek.

Menurut AFP, flotila yang kini terdiri daripada 51 kapal, kebanyakannya berada di sekitar pulau Crete.

Crosetto dalam satu kenyataan berkata, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri dan meluluskan “intervensi segera” oleh frigat Virginio Fasan (F-591) yang sedang belayar di utara Crete sebagai sebahagian daripada Operasi Laut Selamat.

“Kapal tersebut sedang menuju ke lokasi untuk kemungkinan operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut mengecam sekeras-kerasnya “serangan” ke atas flotila menggunakan dron oleh “pihak yang belum dikenal pasti”.

Sementara itu, Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, memaklumkan beliau telah meminta Israel menjamin keselamatan rakyat Itali termasuk ahli parlimen dan wakil Parlimen Eropah (MEP) yang menyertai misi tersebut.

Kementerian Luar Itali turut menegaskan bahawa “sebarang operasi oleh Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan prinsip berhati-hati sepenuhnya”.

Israel, yang telah menyekat dua cubaan flotila untuk sampai ke Gaza pada Jun dan Julai lalu, menyatakan kelmarin bahawa ia tidak akan membenarkan konvoi tersebut memasuki perairan Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button