GSF teruskan pelayaran ke Gaza walaupun berdepan ancaman rejim zionis
CYBERJAYA – Flotila Sumud Global (GSF) akan tetap meneruskan misi ke Gaza meskipun menerima maklumat tentera rejim zionis mungkin akan menyekat perjalanan mereka dalam tempoh 48 jam akan datang.
Ahli Jawatankuasa Pemandu flotila itu, Yasemin Acar berkata, kapal di dalam flotila berkenaan akan terus belayar tanpa singgah lagi untuk hentian teknikal selepas ini.
“Dua malam lalu, kami berdepan serangan api dari ruang udara selama beberapa jam serta serangan ke atas GSF, namun kami tahu Israel sedia maklum bahawa kami tidak akan berhenti.
“Kami tidak akan membuat hentian teknikal selepas ini. Kami akan terus belayar ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan secara dalam talian di salah sebuah kapal GSF, malam tadi.
Sementara itu rakannya dari Palestin, Saif Abukeshek berkata, Israel mengugut akan memenjarakan individu yang menyertai misi terbabit untuk tempoh yang lama, dilayan mengikut undang-undang antikeganasan serta tidak akan dibenarkan menghampiri Gaza.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran ancaman ganas yang diterima itu.
Namun, beliau mengesahkan sepucuk surat yang berkongsikan naratif ancaman terhadap GSF diterima daripada Kementerian Luar Luxembourg.
“Salah satu persoalan lain ialah mengenai maklumat khusus yang kami terima.
“Dari segi maklumat konkrit dan nyata, kami boleh mengesahkan sepucuk surat telah diterima daripada Kementerian Luar Luxembourg yang menjelaskan naratif sama.
“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa kami kini sedang meneliti sumber maklumat itu, di mana Israel sejak beberapa minggu dan berhari-hari lalu menyatakan mereka akan melakukan apa saja untuk menghentikan misi ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






