BERITA SEMASA

Sembilan rakyat Malaysia ditahan

CYBERJAYA – Kesemua sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza ditahan tentera rejim zionis apabila kapal yang dinaiki mereka dipintas pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

Seramai lapan rakyat Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi aktivis adalah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada dalam kapal Umm Saad.

Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

Keadaan mereka belum dapat disahkan, namun Kementerian Luar Israel dalam hantaran di X yang mengesahkan kejadian itu berkata, semua penumpang “dalam keadaan selamat dan sihat”.

“Kapal serta para penumpang telah dibawa ke sebuah pelabuhan Israel.

“Semua penumpang berada dalam keadaan selamat dan sihat, mereka dijangka akan dihantar pulang dengan segera,” kata kementerian itu dalam satu hantaran di X

Secara keseluruhan, misi FFC x TMTG disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button