BERITA SEMASALUAR NEGARA

Sembilan rakyat Malaysia dalam Misi Freedom Flotilla disahkan selamat

KUALA LUMPUR – Kesemua sembilan rakyat Malaysia yang ditahan oleh tentera rejim Zionis ketika menyertai Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition–Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) disahkan berada dalam keadaan sihat, dengan tujuh daripada mereka telah bertemu peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) bagi mendapatkan bantuan guaman.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau juga memberitahu, peguam ADALAH memaklumkan sembilan buah kapal yang menyertai misi berkenaan telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod, manakala kesemua 145 aktivis Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.

“Sebahagian delegasi Malaysia telah ditemui oleh pasukan guaman dan proses pertemuan dengan baki dua lagi delegasi akan diatur dalam masa terdekat.

“Ada antara mereka dilaporkan mengalami keganasan semasa pemintasan kapal dan peguam telah memohon untuk bertemu dengan mereka pada awal petang ini,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman, tiga Ahli Parlimen Turkiye yang turut menyertai misi kemanusiaan itu dijangka dihantar pulang malam ini atau selewat-lewatnya pagi esok.

“Perbicaraan tribunal dijangka berlangsung dalam tempoh dua hari. Wisma Putra juga sedang berusaha bagi memastikan proses pembebasan semua tahanan dapat disegerakan,” jelasnya.

Misi kemanusiaan FFC–TMTG disertai 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience, yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza semalam.

Lapan aktivis Malaysia menaiki kapal Conscience terdiri daripada Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali (Ketua Misi), Dr. Fauziah Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah universiti Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button