
Mat Sabu seru golongan intelektual sebar kefahaman mengenai konflik di Palestin
KUALA LUMPUR – Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru intelektual dalam kalangan pensyarah universiti dan orang-orang yang berilmu secara serius, bangkit memberikan kefahaman kepada umat Islam mengenai konflik di Palestin.
Menurut Mohamad Sabu, beliau bimbang terhadap isu sejagat Palestin, apabila pemahaman mengenai geopolitik dalam isu ini disukarkan dengan sengaja oleh kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat dan Barat.
“Saya ingin membawa kita ke suatu arah di mana, berlaku kebangkitan rakyat yang berjaya membawa negara umat Islam keluar daripada penguasaan Eropah sepenuhnya.
“Setiap tahun pada 15 Mei, rakyat Palestin di seluruh dunia memperingati peristiwa Nakbah, atau malapetaka, merujuk kepada pembersihan etnik Palestin pada tahun 1948.
“Setelah mendapat sokongan kerajaan British untuk mewujudkan negara Yahudi di Palestin, pada 14 Mei 1948 dan sebaik sahaja Mandat British tamat, pasukan Zionis mengisytiharkan penubuhan Negara Israel, mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama.
“Pasukan tentera Zionis mengusir sekurang-kurangnya 750,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka dan menawan 78 peratus bumi Palestin yang bersejarah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata antara penguasa British yang terlibat dalam British Mandate adalah Henry Gurney.
“Jasa besar Henry Gurney yang terbabit dalam menghalau orang-orang Palestin dari tanah air mereka tidak boleh dipadam dari sejarah.
“Kita tidak harus lupa bahawa Henry Gurney lah yang dibawa ke Malaya untuk menjadi Pesuruhjaya British dan beliau membawa seratus peratus idealisme imperialis dan kolonialisme British ke bumi umat Islam Malaya.
“Malangnya dia ‘didewa-dewakan’ oleh golongan tertentu,” katanya.
Tambah Mohamad Sabu, negara-negara Arab yang dianugerahkan dengan pemerintahan selepas kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah telah dinaungi oleh Anglo-Amerika.
“Negara seperti Jordan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan sebagainya. Manakala negara seperti Syria, Iraq dan Iran sudah terlepas dari kongkongan Barat sepenuhnya mulai tahun 1970-an sehingga 1980-an.
“Jangan lupa bahawa Israel diwujudkan dengan menghalau penduduk-penduduk asal Palestin, Israel tidak wujud sebelum tahun 1948.
“Bumi yang mereka jajah itu tetap dengan nama Palestin.
“Bagaimanapun ketika itu, orang-orang Eropah tidak suka dengan orang-orang Yahudi. Mereka tidak mahu Yahudi wujud dalam negara mereka, maka mereka mendapati negara Palestin sesuai untuk dikumpulkan orang-orang Yahudi.
“Sebab itu blok Eropah ini mempertahankan kewujudan Israel sehingga sekarang.
“Sayangnya doktrin pemikiran orang-orang Islam dikuasai oleh Amerika, British dan kuncu-kuncunya.
“Dari segi idealisme, ramai yang tidak begitu memahami apa itu komunisme dan sosialisme, sehingga ada yang terus memusuhi mereka tanpa usul periksa kerana terpengaruh dengan propaganda Barat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu yang juga bekas Menteri Pertahanan turut berasa kesal susulan kebanyakan umat Islam tidak memahami geopolitik, peranan imperialis serta peranan zionis Israel.
“Dengan ketidakfahaman ini, umat Islam terperangkap dengan permainan Barat, khasnya di negara-negara Arab. Banyak negara Arab yang masih terperangkap dengan fahaman Kolonialisme.
“Bagaimanapun negara Arab yang berhaluan kiri seperti Algeria, Tunisia dan sebagainya, merupakan pendukung Palestin yang kuat,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamad Sabu yakin masyarakat Eropah, termasuk juga Afrika Selatan akan membebaskan Palestin selepas persoalan ‘Human Rights’ yang sering ditekankan oleh mereka telah dilanggar oleh zionis.
“Buat masa ini negara-negara Arab dan umat Arab masih menjadi hamba kepada Anglo-Amerika.
“Namun Insya-Allah penguasaan Amerika dan Barat ini akan berakhir suatu masa nanti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








