Lebih RM100,000 dana untuk Palestin dikumpul MRT 3.0 MyCARE Perak
IPOH – Program MyCARE Road Tour (MRT) 3.0 anjuran MyCARE Perak berjaya mengumpul lebih RM100,000 bagi Tabung Kecemasan Gaza menerusi pelbagai aktiviti kemanusiaan yang dijalankan di seluruh negeri itu sejak 17 September lalu.
Program yang memasuki fasa terakhir dan akan berakhir pada 31 Oktober ini bakal ditutup dengan acara Walk4Humanity: Run for Palestine (Virtual) yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyatakan solidariti terhadap Palestin melalui larian maya.
“Sepanjang siri program tersebut, pelbagai aktiviti seperti Larian Solidariti Palestin, forum, podcast dan pameran interaktif di Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda, sekali gus menyemai kesedaran kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa.
“Momentum diteruskan dengan ceramah “Palestin: 2 Tahun Taufan Al-Aqsa” oleh Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Ustaz Megat Aiman Hakim di Masjid An-Nur, Ipoh, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat,” katanya MyCARE dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Kemuncak program menerusi Majlis Hi-Tea Untuk Palestin di Hotel Impiana, Ipoh, itu berjaya menjual lebih 35 meja dan mengumpul sumbangan besar untuk Gaza.
Majlis itu turut menampilkan Forum Isu Kemanusiaan: Bersamamu Palestin bersama Dr. Abdul Rahim Shehab dan Ustaz Megat Aiman Hakim, selain persembahan sajak oleh anak kelahiran Palestin, Razan A.M. Shehab.
MyCARE dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk IKRAM Perak, UTP, BDS Malaysia dan institusi tempatan yang bersama menjayakan program berkenaan, sekali gus membuktikan rakyat Malaysia terus teguh bersama perjuangan rakyat Palestin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








