BERITA SEMASADALAM NEGERI

Air biru : Tiga syarikat perlombongan dibenar beroperasi semula

IPOH – Tiga syarikat perlombongan yang sebelum ini digantung sementara operasinya susulan fenomena perubahan warna air Sungai Perak menjadi biru dibenarkan menyambung semula aktiviti masing-masing bermula 13 Januari lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kebenaran itu diberikan selepas pihak berwajib menyelesaikan siasatan menyeluruh terhadap ketiga-tiga syarikat berkenaan dan berpuas hati dengan hasil dapatan yang dibuat.

Menurutnya, penggantungan operasi sebelum ini bertujuan memberi ruang kepada jabatan teknikal berkaitan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar fenomena tersebut, termasuk kemungkinan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), sama ada disengajakan atau sebaliknya.

“Selepas siasatan dijalankan dan jabatan berkaitan berpuas hati, barulah kebenaran diberikan semula untuk mereka beroperasi,” katanya memetik laporan Bernama.

ketika ditemui selepas Konvensyen Integriti dan Anti Rasuah Perak 2026 serta Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Pada 19 November lalu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengeluarkan perintah penggantungan operasi sementara terhadap tiga syarikat lombong yang didapati tidak mematuhi Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM).

Penggantungan itu dibuat susulan pemeriksaan dan pensampelan kualiti air oleh JMG di beberapa kawasan perlombongan di Hulu Perak, selepas menerima aduan pencemaran melibatkan Sungai Rui, Sungai Kijang, Sungai Kepayang dan Sungai Perak pada penghujung Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Saarani menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan dalam aktiviti perlombongan yang melibatkan sumber semula jadi dan alam sekitar.

“Sekiranya terbukti berlaku pelanggaran, kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat akan sentiasa diutamakan berbanding keuntungan hasil perlombongan. Semua pihak mesti mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button