BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Perlombongan Sabah: SPRM sahkan tiga individu termasuk 2 ADUN akan didakwa

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang individu awam berdepan pendakwaan di mahkamah berhubung rasuah lesen perlombongan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga suspek dalam proses panggilan untuk rakaman percakapan sebelum tarikh pendakwaan ditetapkan.

“SPRM sedang melaksanakan tindakan lanjut termasuk tangkapan serta pemberitahuan rasmi kepada mereka berkaitan tarikh kehadiran ke mahkamah.

“Kesemua suspek dijangka akan didakwa bulan ini dan SPRM menunggu pengesahan tarikh daripada Mahkamah Sesyen (Rasuah) Sabah.

“Segala keputusan tertakluk kepada jadual mahkamah dan kita sedang mendapatkan tarikh rasmi untuk tujuan pendakwaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Azam, rakaman video hanya sebahagian daripada siasatan yang turut melibatkan bukti lain termasuk keterangan saksi dan analisis forensik.

“Kami menilai pelbagai bentuk keterangan termasuk testimoni individu yang terlibat secara langsung. Peralatan boleh merakam, namun manusia diperlukan untuk mengesahkan kesahihan kandungan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, isu teknikal berkaitan bukti rakaman tidak akan diperincikan bagi mengelak sebarang unsur subjudis terhadap prosiding yang akan berjalan.

“Apa yang penting, siasatan berada di fasa akhir dan kami yakin pendakwaan dapat dilaksanakan dalam bulan ini,” ujarnya.

Skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan di Sabah mendapat sorotan umum tahun lalu susulan pendedahan awal yang membawa kepada siasatan berterusan melibatkan beberapa ADUN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button