BN ada peluang tawan lebih banyak kerusi di PRN Sabah – Ahmad Zahid
KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin peluang gabungan itu meraih sebanyak mungkin kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) 29 November ini jauh lebih cerah berbanding sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, meskipun BN hanya menampilkan 45 calon daripada 596 calon yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), keyakinan tetap tinggi berikutan struktur jentera yang lebih tersusun serta kerjasama erat dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, kerjasama tersebut membuka laluan kepada BN untuk menembusi kawasan yang sebelum ini sukar digapai, khususnya di kelompok Bumiputera bukan Islam, lapor Buletin TV3.
“BN mempertaruhkan 45 calon merangkumi UMNO, MCA dan PBRS, dan kita yakin peluang kali ini lebih besar. Jentera kita lebih kemas, ditambah sokongan Badan Perhubungan Negeri yang kini digerakkan sepenuhnya di 45 DUN Sabah.
“Melalui kerjasama dengan PH, banyak kawasan yang dahulu sukar ditembusi kini lebih mudah diterokai kerana rakan kita mempunyai kekuatan di lokasi tertentu,” katanya pada Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama media, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, komposisi pengundi Sabah yang merangkumi Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina menyebabkan BN berdepan kesukaran pada pilihan raya lalu.
Namun, gabungan bersama PH kali ini mengukuhkan kedudukan BN di kawasan yang dahulunya ‘liar’ bagi parti itu.
“Di kawasan Bumiputera bukan Islam dan Cina, penerimaan terhadap kerjasama BN–PH amat baik. Ada keserasian yang membolehkan jentera kita bergerak dengan lebih padu,” ujarnya.
Mengulas kerjasama PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau menyifatkannya sebagai strategi politik PH, namun menegaskan BN tetap bersaing dengan GRS di 45 kerusi yang ditandingi.
“Isu nasional tidak terlalu menguasai pemikiran pengundi Sabah kali ini. Mereka lebih fokus pada isu setempat seperti prasarana, utiliti, air, jalan dan elektrik di bandar serta luar bandar. Isu pendidikan dan ekonomi juga dilihat semakin ditangani dengan baik,” katanya.
Mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Ahmad Zahid menegaskan isu itu tidak menjadi tumpuan utama pengundi memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan kerajaan tidak membuat rayuan selepas keputusan mahkamah berhubung perkara tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








