POLITIK

Kerjasama BN–PH berasaskan gabungan, bukan parti ke parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah mempunyai hubungan langsung dengan DAP, sebaliknya kerjasama politik yang wujud ketika ini adalah antara gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan tersebut perlu difahami dalam kerangka kerjasama antara gabungan politik, bukan melibatkan hubungan secara langsung antara parti komponen.

Menurut beliau, MCA sebagai parti komponen BN dan DAP sebagai parti komponen PH berada dalam gabungan masing-masing, justeru asas utama kerjasama adalah antara BN dan PH.

“Kita perlu meletakkan asas bahawa kerjasama ini bukan daripada parti ke parti, sebaliknya daripada gabungan ke gabungan,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu membolehkan sebarang permasalahan diselesaikan melalui perbincangan dan kesefahaman yang dicapai dalam kalangan kepimpinan gabungan.

Beliau menegaskan, rasionaliti politik perlu menjadi keutamaan terutama dalam menghadapi landskap politik semasa dan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

“Yang lebih penting ialah kematangan dan rasionaliti politik bagi memastikan kedua-dua gabungan dapat membina kekuatan bersama untuk menangani serta melepasi permasalahan yang wujud,” katanya lagi.

Sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan pendirian parti berkenaan yang enggan bekerjasama dengan DAP, selari dengan pendirian konsisten MCA dalam menjaga prinsip dan hala tuju politik parti tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button