Vietnam komited perkukuh kerjasama pendidikan dengan Malaysia
BANGI – Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh menegaskan komitmen negaranya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan sasaran Vietnam untuk tersenarai dalam 20 negara terbaik dunia dalam pendidikan menjelang 2045.
Chinh turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan strategik utama dalam membangunkan tenaga kerja ASEAN yang berkemahiran tinggi dan turut bersedia dalam meneroka potensi dalam pembangunan digital.
“Malaysia ialah rakan utama dalam merealisasikan visi bersama ke arah pembentukan tenaga kerja yang mahir dan bersedia secara digital.
“Kita meletakkan pendidikan sebagai asas strategik kepada pembangunan negara,” katanya memetik Astro Awani.
Chinh berkata demikian dalam syarahan umum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini yang dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Beliau turut menekankan bahawa penyelidikan dan inovasi adalah pelaburan masa depan manakala kerjasama antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara berpotensi melonjakkan pembangunan bakat serta memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan Vietnam.
“Keupayaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi akan meningkat apabila kita berkongsi kepakaran secara erat.
“Ini akan membantu melahirkan lebih ramai bakat cemerlang serta mengeratkan hubungan rakyat antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Sebagai langkah konkrit, memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara UKM dengan dua universiti utama Vietnam iaitu Universiti Hanoi dan Universiti Ho Chi Minh.
“Kami amat menghargai MoU yang dimeterai antara UKM dan dua universiti utama di Vietnam.
“Ia membuka ruang besar kepada kerjasama dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi serta memperkukuh bidang penyelidikan dan inovasi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Chinh turut menekankan nilai perpaduan dan solidariti sebagai asas kekuatan ASEAN.
Beliau menggesa negara-negara anggota ASEAN mempertahan kepelbagaian dan memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam pembangunan serantau.
“Kita harus mempertahankan kepelbagaian dan terus mengekalkan ASEAN sebagai sebuah entiti yang bersatu padu.
“Semangat ‘tiada siapa yang tertinggal’ harus menjadi prinsip asas dalam setiap langkah kita ke hadapan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








