BERITA SEMASA

Papagomo diarah bela diri atas pertuduhan buat hantaran palsu di Facebook

SEPANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, membela diri atas pertuduhan menyiarkan kandungan palsu di Facebook pada mei 2025.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hadni Khairuddin, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen pertuduhan berdasarkan keterangan saksi serta dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Menurutnya, hantaran palsu yang mendakwa 11 Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri bukan sahaja berpotensi mengganggu ketenteraman awam, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.

Susulan itu, Wan Muhammad Azri yang diwakili peguam bela, Rafique Rashid Ali, memilih untuk membela diri dengan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 1, 2 dan 15 September depan sebagai tarikh prosiding pembelaan, manakala keputusan kes dijadualkan pada 22 Oktober 2026.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa menerbitkan satu hantaran melalui akaun Facebook menggunakan nama “Muhammad Azri” pada pukul 7.32 malam, 28 Mei 2025.

Hantaran itu didakwa mengandungi kenyataan palsu bahawa seramai 11 Ahli Parlimen PKR sedang bersedia menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Rafique berkata, anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah bagi menjawab pertuduhan yang dihadapinya.

Menurut beliau, pihak pembelaan turut mempertimbangkan untuk memanggil dua lagi saksi bagi menyokong kes pembelaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button