YouTuber terkenal Thailand ditemukan maut di Georgia
BANGKOK – Seorang YouTuber pelancongan terkenal Thailand, Bowornthat Pengsuk atau lebih dikenali sebagai Hlun Solo, ditemukan maut di sebuah bilik hotel di Tbilisi, ibu negara Georgia, lebih dua minggu selepas terputus hubungan dengan keluarganya.
Media tempatan melaporkan, polis Georgia mengesahkan kematian lelaki berusia 27 tahun itu semalam dan telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang masih belum dapat dipastikan.
Hlun Solo sebelum ini berada di Georgia bagi menghasilkan kandungan video serta mengumpul bahan untuk saluran pelancongannya yang memfokuskan pengembaraan solo dengan kos rendah.
Beliau merupakan antara pencipta kandungan pelancongan paling popular di Thailand dengan lebih 2.5 juta pengikut di Facebook dan 950,000 pelanggan di YouTube.
Kehilangannya mula mendapat perhatian selepas abangnya membuat rayuan kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat mengenai lokasi Hlun Solo selepas gagal dihubungi. Abangnya memaklumkan kali terakhir keluarga berhubung dengannya adalah pada 13 Julai.
Seorang rakan keluarga yang membantu usaha pencarian kemudian memaklumkan bahawa keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kematiannya.
Sementara itu, Kementerian Luar Thailand sebelum ini memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Georgia, konsul kehormat Thailand serta rangkaian sukarelawan rakyat Thailand di negara itu bagi mengesan lokasi Hlun Solo.
Hlun Solo dibesarkan dalam keluarga miskin di wilayah Kalasin dan dijaga oleh neneknya selepas bapanya meninggal dunia.
Selepas menamatkan persekolahan, mendiang bekerja di sebuah kilang sebelum berjaya memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains politik di Universiti Chulalongkorn di Bangkok.
Selepas menamatkan pengajian, beliau memilih kerjaya sebagai pengembara sepenuh masa dengan menghasilkan kandungan mengenai pengembaraan solo, selain berkongsi tip berjimat cermat bagi merealisasikan impiannya menjelajah dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















