12 individu ditahan, disyaki terlibat kes samun YouTuber Taiwan
KUALA LUMPUR – Polis menahan 12 individu termasuk lapan lelaki dan empat wanita selepas seorang YouTuber warga Taiwan dipercayai dipukul dan disamun dalam kejadian di Eko Cheras Residence, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu dilaporkan pada 1 Ogos lalu oleh seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, YouTuber berusia 38 tahun menjadi mangsa samun.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan selain kerugian dianggarkan lebih RM35,000.
“Siasatan mendapati motif kejadian dipercayai kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan wang tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi, sekali gus menjadi pencetus kepada jenayah berkenaan.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur melancarkan operasi khas dan menahan 12 individu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun.
Katanya, tujuh daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Ogos lalu selepas keterangan diambil, manakala lima lagi direman sehingga 13 Ogos bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.
“Polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








