Polis buru empat lelaki bersenjata samun kedai emas di Kuantan
KUANTAN – Polis memburu empat lelaki bersenjatakan parang dan objek dipercayai pump gun selepas mereka menyamun sebuah kedai emas di Taman Pandan Perdana, di sini, kira-kira pukul 2 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah terbabit melarikan pelbagai barang kemas bernilai kira-kira RM500,000.
“Ketika kejadian semua empat lelaki terbabit memakai pelindung muka. Mereka turut membawa sebilah parang dan objek disyaki pump gun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sejurus melakukan samun, keempat-empat suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal.
Katanya, usaha mengesan penjenayah terbabit sedang giat dijalankan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Dalam pada itu, video kejadian samun berkenaan tular di media sosial selepas dirakam orang ramai, termasuk kelibat empat penjenayah terbabit.
Berdasarkan rakaman tersebut, empat lelaki berkenaan dilihat memakai jaket berwarna gelap dan topi keledar, manakala seorang daripada mereka turut dilihat memegang parang di hadapan kedai emas berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dengan senjata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








