JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita cedera dipukul, dihiris suami, doktor Hospital Ampang buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang suami memukul dan menghiris isterinya menggunakan senjata tajam terbongkar selepas seorang doktor perubatan di Hospital Ampang membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 29 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, laporan diterima pada pukul 2.19 petang selepas pihak hospital menerima dan merawat mangsa, wanita berusia lingkungan 40 tahun yang disyaki mengalami kecederaan akibat dipukul serta dihiris suspek.

Menurutnya, mangsa dan suspek merupakan pasangan suami isteri yang berkahwin menerusi perkahwinan adat yang tidak didaftarkan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dimasukkan ke wad ortopedik sebelum tampil membuat laporan polis sendiri sejurus dibenarkan keluar dari hospital pada 4 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan suspek di perkarangan IPD Dang Wangi pada jam 4.10 petang, 8 September lalu.

Suspek ialah lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun dan tidak bekerja.

“Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 27 rekod lampau membabitkan 15 kes jenayah dan 12 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut disahkan positif dadah,” katanya.

Sazalee berkata, suspek direman selama enam hari sehingga 14 September lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button