BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua warga Singapura bergaduh di balai polis ditahan

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua warga Singapura selepas terlibat pergaduhan dalam kawasan Balai Polis Larkin, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian berlaku pada pukul 6.15 petang ketika suspek yang masing-masing merupakan lelaki berusia 56 dan 46 tahun berada di kaunter aduan.

Jelas Raub, kedua-dua lelaki itu dibawa pihak polis ke balai berkenaan selepas terbabit pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di sini pada hari sama.

“Bagaimanapun semasa seorang daripada suspek membuat laporan polis, seorang lagi suspek datang ke kaunter aduan dan berlaku serangan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pergelutan.

“Pergelutan berjaya dileraikan anggota polis bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, kedua-dua suspek mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah sebelum diberkas.

“Pergaduhan pertama antara kedua-duanya berlaku sekitar 5.20 petang di aras satu pusat beli-belah, yang didakwa berpunca ketidakpuasan hati apabila ditegur isteri seorang daripada suspek.

“Wanita tersebut didakwa terkena air minuman bir yang tertumpah selepas salah seorang suspek hampir melanggarnya.

“Pertikaian mencetuskan pergaduhan sehingga memerlukan campur tangan polis yang sedang menjalankan tugas rondaan,” katanya.

Kedua-dua suspek kemudian direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button