JENAYAH & MAHKAMAH

Kes dadah: Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun, PDRM hantar pasukan siasatan

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap penahanan lima rakyat Malaysia yang didakwa membawa lima kilogram kokain ke Jepun akan diperluas menerusi penghantaran pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan berkenaan akan menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan itu, termasuk kemungkinan penglibatan rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.

Katanya, pihak berkuasa Jepun turut menyiasat sumber bekalan kokain berkenaan, selain mengenal pasti anggota sindiket dan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.

“JSJN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun mengenai penahanan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda pada 10 Oktober lalu.

“Pihak Kastam Jepun menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut dipakai kelima-lima suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengesahan itu sekali gus memperbetulkan laporan beberapa media tempatan semalam yang menyatakan empat lelaki dan seorang wanita ditahan dalam kes berkenaan.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan rekod perjalanan mendapati enam rakyat Malaysia berlepas bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 menuju Haneda pada 9 Oktober lalu untuk melancong.

Bagaimanapun, hanya lima daripada mereka ditahan pihak berkuasa Jepun, manakala seorang lagi tidak ditahan dan sudah pulang ke Malaysia.

Menurutnya, JSJN sudah mengenal pasti kesemua enam individu berusia antara 19 hingga 26 tahun, termasuk individu yang telah kembali ke negara ini.

“Lima daripada mereka berasal dari Sarawak dan semakan rekod mendapati kesemuanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Dalam pada itu, Hussein menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pelawaan bercuti, khususnya jika diminta membawa beg atau barangan milik individu lain ke luar negara.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi hotline JSJN di 012-208 7222.

Sebelum ini, media Jepun melaporkan lima rakyat Malaysia ditahan selepas pegawai kastam menemukan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Haneda.

Menurut laporan TBS News DIG, setiap individu dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain, dengan dua bungkusan seberat 500 gram disembunyikan masing-masing di dalam kasut kiri dan kanan.

Laporan itu turut memetik seorang suspek yang mendakwa menerima tawaran membawa dadah ke luar negara menerusi aplikasi Telegram dengan upah RM8,000 seorang.

Media Jepun menganggarkan nilai keseluruhan kokain yang dirampas kira-kira 120 juta yen atau RM3.1 juta.

Sementara itu, Tokyo Reporter yang memetik laporan Nippon News Network (NNN) pada 12 Oktober lalu mendakwa seorang daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan, Mohamad Danial Farhan Abdul Rahman, 24, turut ditahan bersama isterinya dan beberapa rakan mereka.

Bagaimanapun, hubungan suami isteri antara dua suspek berkenaan belum disahkan PDRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button