Polis selesai siasatan kekecohan di Kampung Sungai Baru
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiapkan siasatan berhubung insiden kekecohan serta serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan yang sebelum ini dikembalikan dengan arahan tambahan akan dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada petang ini.
“Polis mencadangkan pertuduhan dikenakan terhadap semua individu yang ditahan. Secara keseluruhan, lapan orang ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insiden berlaku ketika operasi pengosongan bangunan dijalankan oleh bailif mahkamah. Media sebelum ini melaporkan tujuh suspek awal dipercayai ahli sebuah NGO ditahan kerana didakwa melakukan provokasi dan mencederakan pegawai polis.
Seorang lagi, Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan berkaitan halangan tugas awam dan keganasan.
Menurut Mohamed Usuf, setakat ini seramai 67 orang telah diambil keterangan sebagai saksi, termasuk 52 anggota polis, empat pengadu, tiga pegawai mahkamah, anggota APM, pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur, seorang peguam, wakil penduduk, pengarah syarikat serta seorang wanita penjaga kepada salah seorang yang ditangkap.
Operasi itu dijalankan susulan arahan mahkamah bagi merobohkan struktur rumah di kawasan Kampung Sungai Baru yang proses pengambilalihan tanahnya bermula sejak 2016.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








