Cubaan samun ketika COD kuih gagal, wanita cedera kedua-dua tangan
BESUT – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila diserang lelaki tidak dikenali ketika sedang menghantar pesanan kuih sejuk beku yang ditempah pelanggan di kawasan ini pada malam kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.48 malam, mangsa cedera di kedua-dua belah tangan akibat bergelut dengan suspek yang bersenjatakan pisau dan cuba menyamun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, kejadian berlaku ketika wanita berusia 31 tahun itu sedang menyerahkan pesanan kepada pelanggan sebelum didatangi lelaki terbabit.
“Ketika cuba menghalang tindakan suspek, tangan mangsa terkena pisau yang dipegang lelaki itu sehingga menyebabkan tangan kanan dan kirinya luka.
“Suspek kemudiannya melarikan diri selepas gagal dalam cubaan samun tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai pelanggan dan menyerang mangsa ketika bersemuka bagi urusan serahan tunai (COD).
Ujar beliau lagi, mangsa telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh didenda atau disebat.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6956222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







