Lorong kiri KM 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan ditutup akibat tanah runtuh
IPOH – Laluan kiri di kawasan tanah runtuh di Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan akan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata penutupan berkenaan membabitkan pemasangan kon keselamatan dari KM 262.8 hingga KM 263.8, sejauh kira-kira satu kilometer (km).
Katanya, aliran trafik bertentangan ketika ini masih belum diaktifkan, manakala pergerakan trafik akan dipantau dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan di lokasi.
“Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan vista point akan dihalakan ke lokasi kejadian bagi membolehkan pemantauan berterusan terhadap keadaan kawasan tanah runtuh dan pergerakan trafik di laluan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis bersama PLUS Malaysia Bhd (PLUS) serta agensi berkaitan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
Pengguna juga diminta mematuhi arahan petugas serta papan tanda keselamatan dan mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan itu.
Semalam, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kejadian cerun runtuh di KM 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15km.
Kesesakan itu turut berpunca daripada kerja pembersihan yang dijalankan di lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







