PENDAPATRENCANA

Kembalilah kepada kasih sayang dan keharmonian

Oleh DR SITI SURIANI OTHMAN

DALAM beberapa bulan kebelakangan ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang menimbulkan kegusaran dan kekecewaaan.

Insiden samun terhadap Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Penasihat USIM Writers’ Pool (UWP) dan turut cedera dalam kejadian tersebut, menggambarkan bahawa keselamatan diri sesiapa sahaja kini semakin terancam walaupun bagi tokoh terpelajar dan dihormati.

Dzulkifli mengalami kecederaan di kepala akibat disamun dalam kejadian di Pulau Pinang baru-baru ini.

Di samping itu, laporan mengenai kes buli, rogol dan pembunuhan di sekolah menambahkan kebimbangan. Tempat yang sepatutnya menjadi medan mendidik akhlak, kini turut menjadi lokasi tragedi kemanusiaan.

Peristiwa-peristiwa ini tidak harus kita lihat sebagai hanya statistik laporan polis.

Ia menandakan berlakunya krisis nilai dalam masyarakat Malaysia di mana kasih sayang, empati dan rasa hormat terhadap sesama manusia semakin terhakis.

Persoalannya, apakah kita sedang menuju ke arah masyarakat maju yang kehilangan jiwa?

Tidak dinafikan, kita berbangga kerana Malaysia kini bergerak pantas menuju status negara maju. Namun, di sebalik kemajuan ekonomi dan teknologi, nilai kemanusiaan dan keinsanan seakan semakin longgar.

Dalam keghairahan mengejar markah, pangkat dan pengaruh, aspek adab dan akhlak sering kali disisih dan tersisih.

Apabila pelajar tidak lagi menghormati guru dan institusi sekolah, jiran tidak mengenali jiran dan masyarakat lebih cepat menghakimi daripada memahami, itu tanda kasih sayang semakin pudar.

Kita melihat bahawa jenayah yang berlaku bukan sekadar hasil kemiskinan ekonomi, tetapi kemiskinan moral.

Namun ada negara yang dikategorikan selamat berbanding negara-negara lain di dunia ini.

Setiap tahun, laporan Global Peace Index menilai tahap keselamatan dan keamanan dunia.

Antara negara yang sering menduduki tangga teratas ialah Iceland, Denmark dan New Zealand.

Mengapa negara-negara ini begitu selamat?

1. Iceland

  • Negara kecil dengan populasi sekitar 400,000 orang, mencatat hampir sifar kadar jenayah ganas. Kunci utamanya ialah kepercayaan sosial (social trust) iaitu rakyat mempercayai satu sama lain, menghormati undang-undang dan hidup dalam komuniti yang saling menjaga. Tiada jurang besar antara kaya dan miskin; semua saling menghormati dan membantu.

2. Denmark

  • Negara ini pula membina keselamatan melalui keadilan sosial dan empati. Sistem pendidikan mereka menekankan nilai kemanusiaan sejak kecil iaitu pelajar diajar tentang tanggungjawab sosial, kesamarataan dan hak asasi manusia. Mereka bukan sekadar belajar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi manusia yang beretika dan berguna.

3. New Zealand

  • Sebuah negara yang menekankan kepemimpinan berempati dan komuniti penyayang. Pemimpin mereka termasuk bekas Perdana Menteri Jacinda Ardern menunjukkan bahawa kelembutan dan kasih sayang boleh wujud dalam politik. Ketika tragedi serangan Christchurch berlaku pada 2019, beliau menangani krisis itu dengan tenang dan berempati sekali gus memulihkan perpaduan rakyat.

Ketiga-tiga negara ini membuktikan bahawa kasih sayang dan empati adalah asas sebenar keselamatan.

Ia bukan dicapai melalui hukuman keras semata-mata, tetapi melalui budaya hormat, tanggungjawab dan nilai kemanusiaan yang disemai sejak kecil.

Dalam konteks ini, Malaysia harus menilai semula sistem nilai yang sedang kita bina.

Kecemerlangan akademik amat penting, namun ia tidak boleh menenggelamkan keperluan membina jati diri dan akhlak mulia.

Generasi muda perlu dididik bahawa kejayaan bukan hanya memperoleh keputusan cemerlang, tetapi juga menjadi insan yang berakhlak, berempati dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”

Hadis ini menjadi asas moral bahawa ilmu tanpa adab adalah kosong.

Sekolah dan universiti mesti menanam semula nilai kasih, ihsan dan tanggungjawab sosial melalui pendekatan yang lebih holistik, bukan sekadar teori moral dalam sukatan pelajaran, tetapi melalui amalan harian dan contoh teladan para pendidik.

Untuk mengembalikan keamanan, setiap rakyat mesti memainkan peranan:

  • Ibu bapa perlu menjadi cermin akhlak di rumah iaitu mengajar anak menghormati, bukan menghina.
  • Guru dan institusi pendidikan harus mendidik dengan kasih sayang, bukan sekadar menilai dengan markah.
  • Media dan pengguna internet mesti menolak budaya kebencian dan memilih komunikasi yang membina.

Kasih sayang bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan moral yang membentuk masyarakat beradab.

Ia adalah benteng sebenar terhadap jenayah dan kekerasan.

Maka, negara yang selamat tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata, tetapi kepada rakyat yang berakhlak dan berkasih sayang.

Jika rakyatnya saling menghormati, maka undang-undang menjadi pelindung, bukan sekadar hukuman.

Malaysia mampu menjadi seperti Iceland atau Denmark jika setiap warganya mengamalkan nilai kemanusiaan dengan kesedaran diri.

Keamanan bermula dari hati iaitu daripada cara kita berfikir, bercakap dan bertindak.

Kita tidak boleh menunggu perubahan datang dari atas; perubahan mesti bermula daripada setiap individu yang memilih untuk hidup dengan kasih, bukan kebencian.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia kembali kepada asas fitrah iaitu kasih sayang, hormat dan kemanusiaan.

Hanya dengan itu kita dapat menjamin masa depan negara yang benar-benar selamat, sejahtera dan bermaruah.

* Penulis merupakan Presiden UWP, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dr Siti Suriani Othman

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button