BERITA SEMASAPMX

Anwar arah siasatan kematian Noorizwan telus, keluarga perlu dimaklumkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu siasatan berhubung kematian tahanan, Noorizwan Zulkefly, dilaksanakan secara menyeluruh dan telus tanpa sebarang kompromi, selain memastikan keluarganya dimaklumkan mengenai perkembangan kes berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai siasatan kes itu.

Beliau turut melahirkan rasa dukacita atas pemergian Noorizwan serta memahami kesedihan dan kebimbangan ahli keluarga yang masih menantikan penjelasan berhubung kejadian tersebut.

“Saya amat berdukacita atas pemergian Allahyarham dan memahami kesedihan serta keresahan keluarga yang menantikan jawapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, beliau mengambil maklum kehadiran ahli keluarga Allahyarham yang hadir untuk menyerahkan surat rayuan kepadanya bagi memohon perhatian kerajaan terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menerima sendiri keluarga itu berikutan komitmen menghadiri beberapa program di Melaka pada hari ini.

“Saya dijadualkan menghadiri beberapa rencana di Melaka hari ini dan telah mewakilkan pegawai saya untuk menerima surat tersebut serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan keluarga,” katanya.

Terdahulu, ahli keluarga Noorizwan bersama peguam mereka hadir di kediaman Perdana Menteri di Kajang bagi menyerahkan surat rayuan supaya kerajaan campur tangan dalam kes kematian berkenaan.

Sebelum ini, peguam yang mewakili keluarga itu, N Surendran daripada Lawyers for Liberty (LFL), menggesa supaya kematian Noorizwan disiasat sebagai kes bunuh susulan dakwaan terdapat kecederaan serius pada tubuh mangsa.

Noorizwan dilaporkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid memaklumkan bahawa bedah siasat mendapati tiada kecederaan pada organ dalaman Allahyarham.

Menurut kenyataan beliau hari ini, pemeriksaan forensik bagaimanapun menemukan kecederaan luaran pada tubuh Noorizwan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button