Kedudukan Shuhaily diurus KSU KDN, KSN – Saifuddin
KULAI – Urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk ditangani mengikut peraturan pentadbiran awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu kini dalam pengurusan kedua-dua pihak dan perlu diselesaikan berdasarkan tatacara sedia ada, memetik laporan Harian Metro.
“Hal berkenaan sedang diuruskan antara Ketua Setiausaha di kementerian saya dan Ketua Setiausaha Negara.
“Sebab pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk menguruskan keadaan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) ke-78 serta peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2026 di Kampung Melayu Sedenak, di sini, hari ini.
Mengulas kritikan Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan peranannya sebagai orang tengah dalam kemelut membabitkan AKPS dan dua anggota polis, Saifuddin menerima teguran itu secara terbuka.
Namun, beliau membangkitkan persoalan mengenai kemampuan pemimpin pembangkang memainkan peranan sebagai pendamai ketika parti mereka sendiri berdepan konflik dalaman.
Ini termasuk perselisihan yang diberlaku di antara kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat mempersoalkan pendekatan Saifuddin dalam menangani isu berkenaan.
Mereka turut berharap tindakan terhadap Mohd Shuhaily dapat ditarik balik, selain mempersoalkan kelancaran proses pendakwaan dan kemungkinan wujud agenda tertentu yang dikaitkan dengan isu ‘mafia korporat’.
Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang terhadap dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman dan Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







